Satu idea menarik

“BERKENDURI” SETIAP HARI

Memandu dalam panas terik, terasa haus dan teringat sekilometer lagi ada orang jual air tebu tepi jalan. Bila sampai, saya memberhentikan kereta dan memesan dua cawan air tebu utk minum dalam kereta dan bawa balik ke rumah

Bila saya menghulur duit kepada penjual, dia yang biasa dengan saya kerana selalu singgah beli air tebunya berkata, “Bang, hari ni dah ada orang bayar. Tadi ada seorang pembeli datang masa saya baru buka, dia serah duit RM50 dan berpesan supaya guna duit tu sebagai bayaran kepada siapa saja yang singgah beli air tebu saya hingga habis duit tersebut. Katanya sedekahnya hari ini.” Subhanallah.

Saya nak ajak anda semua merenung sejenak beberapa iktibar dari insiden ini. Si pembeli ini yang meninggalkan duit untuk membayar minuman kepada siapa saja telah bersedekah seikhlasnya bila dia tidak mengetahui dan tidak mahu ambil tahu siapa yang menerima sedekahnya. Malah memberi minuman disebut Rasulullah SAW sebagai antara sedekah yang utama, apa lagi ketika mereka yang bermusafir di jalan kehausan, yang miskin mahupun yang mengayuh basikal.

Malah mungkin juga yang kaya dan yang berkereta besar akan menerima air tebu ini sebagai sindiran daripada Allah. Mungkin berbuat kenduri di rumah, kita masih terdetik sedikit rasa menunjuk, megah, ujub tetapi cara ini walaupun kecil lebih “selamat” daripada sifat yang merosak amal dalam memberi makan dan boleh dibuat setiap hari.

Mudahnya nak berbuat baik, antara hendak dengan tidak. Kenapa nak tunggu ada beratus atau beribu RM baru nak berkenduri, memberi jamuan makan, minum sedangkan ada sedikit, buatlah sedikit.

Memberi makan atau minum yang disebut dalam Al-Quran bukan mesti buat kenduri di rumah, bukan mesti ada baca tahlil. Di samping itu, kita dapat membantu peniaga kecil yang berusaha untuk rezeki keluarganya.

Si penjual pula dalam insiden ini ternyata seorang peniaga yang amanah. Bukan mesti berniaga berjuta, bersifat amanah dan jujur baru masuk syurga tapi amanah dan jujurlah di tahap manapun perniagaan kita meskipun sekedar perjual nasi lemak, In shaa Allah moga kita beroleh syurga.

Penjual air tebu ini boleh terus melenyapkan wang yang diamanah kepadanya kerana tiada siapa yang tahu, tetapi dia tidak berbuat demikian. Peniaga yang beginilah yang patut kita beri sokongan, moga urusniaganya dengan kita menjadi kebajikan. Moga lebih banyak peniaga yang demikian, kerana berniaga juga suatu sunnah dan menjadi amal soleh.

Lihatlah bagaimana Allah SWT mengatur rezeki untuk peniaga yang amanah ini di mana RM50 adalah bersamaan 35 cawan air tebu yang mungkin telah sebahagian daripada jualannya hari itu. Sesungguhnya yang menggerak hati untuk bersedekah adalah Allah SWT dan Dialah memilih hamba-Nya yang amanah.

Jom kita menjadi insan yang amanah dan jujur dalam apa juga kerja yang kita buat. Jom kita berbuat baik, bersedekah dengan apa cara pun. Kreatiflah juga dalam memberi. Berhentilah daripada memberi alasan tidak cukup duit, tidak ada masa nak berkenduri, tidak ada ruang untuk bersedekah.

Apa kata saya cadangkan suatu hari kita taja sedikit minuman di kantin sekolah atau di kafeteria tempat kita kerja yang tentunya ada anak yatim dan miskin serta “staf yang memerlukan” yang turut mendapat minuman, menaja nasi lemak yang dijual oleh seseorang di awal pagi, menaja goreng pisang yang dijual waktu petang dan sebagainya.

Hakikatnya ia adalah kenduri, memberi makan seperti yang disuruh oleh Rasulullah SAW, yang boleh selalu dilakukan, yang tidak dibuat di rumah, lebih menyenangkan, tiada khemah, tiada jemputan, tiada sambutan tetapi ganjaran tidak berkurang berbanding berkenduri di rumah yang lebih banyak karenah.

Fikir fikirkanlah, kalau tak setuju, berilah senyuman, kalau setuju, jom kita mulakan.

Wallahu’Alam.